Sisi Gelap Realiti Kehidupan ‘Instafamous’ Yang Jadi Hamba Media Sosial Sehingga Depresi

Memiliki akaun media merupakan satu kemajuan bagi diri masing-masing. Malah sebenarnya sedikit sebanyak memberi ilmu pengetahuan baru kepada kita terutama mengenai kehidupan masa kini.

Namun setiap perkara yang wujud ada baik buruknya.

Perkara baik akan terjadi sekiranya kita pandai mengawal nafsu bermain di media sosial. Dan perkara buruk boleh menimpa sekiranya anda terlalu taksub dengan permainan social media hari ini.

Bagi pengguna Instagram pula, pastinya sudah mengetahui bahawa wujudnya ‘ikon’ instafamous yang mana pada hari ini menjadi ikutan semua orang terutamanya gadis remaja awal 20-an.

Mereka yang bergelar instafamous ini rata-ratanya sentiasa di nanti-nantikan oleh pengikut mereka setiap hari.

Seperti yang dinyatakan di atas, setiap perkara ada baik buruknya. Dan menjadi seorang yang bergelar instafamous ini bukanlah satu perkara yang indah.

Kenapa kami simpulkan sebegitu?

 

Ayuh baca perkongsian saudari Hawa Wong..

Semalam ada kawan lama telefon ajak jumpa. Hal penting katanya.

Biasa kalau kawan lama nak jumpa ini ada dua kategori je, pinjam duit atau ajak join mlm. Hawa pesan awal-awal, kalau sebab dua benda ni Hawa tak nak. Dia jawab, tak. Dia depresi katanya.

Jadinya terpaksa Hawa kerja separuh hari demi nak melayan si dia ni.

Cerita ini sangat serius bagi Hawa. Kawan Hawa ni merupakan salah seorang yang popular di socmed.

Dia popular di laman instagram dan twitter dek kerana mempunyai wajah yang cantik dan perwatakan menarik.

Dia kata dia mengalami tanda-tanda depresi yang agak teruk. Tidak boleh tidur malam. Cepat marah. Sedih tiba-tiba. Tidak fokus dalam melakukan sesuatu.

Disclaimer: Gambar Hiasan semata-mata

Bila menjadi orang yang popular, kehidupannya menjadi tidak menentu. Dia menghidap penyakit narsis yang perlu selfie setiap hari untuk muat naik gambarnya dia socmed.

Dia harus pastikan setiap gambarnya sempurna kerana dia perlu meraih like yang banyak.

Sampaikan gajinya habis dek kerana sentiasa beli baju baru, kasut baru dan beg tangan baru.

Nasibnya agak baik kerana dia ada mata pencarian tambahan dengan “paid review” di laman instagram.

Tapi lama kelamaan dia merasakan ini bukan dirinya lagi.

Dia perlu berlakon menjadi orang lain. Dia perlu bersaing dengan instafamous yang lain walaupun mereka yang popular di laman instagram ini berkawan antara satu sama lain.

 

Terpaksa ‘Bersaing’

Bila ada kawannya beli bag tangan baru, dia juga perlu beli yang baru.

Bila ada kawannya yang beli baju baru, dia juga perlu beli baju baru. Bila ada kawannya beli alat solek baru, dia juga perlu beli yang baru. Bila ada kawannya beli kasut baru, dia juga perlu kasut baru.

Barangan yang mereka beli dan pakai haruslah barang yang berjenama.

Baru ada class katanya. Dia juga jenuh google quote menarik setiap hari agar sesuai dengan gambar yang dia muat naik pada laman instagramnya.

Selepas muat naik gambar atau update twitter, dia akan periksa siapa yang like gambarnya dan retweet tweet dia.

Walaupun beribu yang like dia sanggup periksa satu persatu. Sanggup baca komen-komen pengikutnya. Sesiapa yang beri komen negatif dia akan block pengikutnya.

Disclaimer: Gambar Hiasan semata-mata

Bila ada kawan-kawan tak like gambar dia, dia akan mula mempersoalkan perkara itu pada dirinya sendiri. Kenapa ek dia tak like gambar aku? Kenapa ek dia tak komen gambar aku? Dia cemburu lah tu.

 

Masa Dengan Keluarga ‘Burn’ Sebegitu

Hari hujung minggu yang sepatutnya dia penuhkan dengan keluarga, dia batalkan dan akan pergi ke kafe atau restoran mewah. Sebelum makan, ambil gambar dulu dan muat naik pada socmed.

Setiap kali ada cuti panjang dia akan pergi bercuti ke luar negara walaupun jarak dekat semata-mata untuk muat naik gambar dalam kapal terbang. Pernah satu ketika dia buat loan bank hanya semata-mata mahu menaiki penerbangan kelas pertama ke luar negara.

Apabila melihat ada kawan lain yang muat naik gambar dengan baju/bag/kasut atau kereta baru dia akan mula rasa tertekan dan rasa tercabar. Dia mahu menjadi lebih dari mereka.

Kalau dia tak mampu untuk menandingi kawannya, dia akan terpuruk di dalam bilik mengira baki wang yang ada dan akan usaha sedaya upaya untuk ada apa yang kawannya ada.

Bila pulang ke rumah selepas bekerja, masa dia hanya pada socmed sahaja. Dia tidak lagi mempedulikan ahli keluarganya yang lain. Tidurnya tidak pernah cukup kerana socmed. Begitulah hidup dia sehari-hari.

 

Dilema Nak Bayar Hutang!

Sekarang, wang simpanan telah habis dipakai.

Hanya mengharapkan gaji bulanan dan imbuhan dari paid review yang dia lakukan. Malangnya, pendapatan tersebut tidak mencukupi untuk membayar hutang-hutang dia pada bank.

Sampai satu ketika dia merasa diri dia tidak berguna lagi kerana menjadi hamba socmed. Pernah terniat untuk bunuh diri supaya dia tidak lagi perlu berlawan dengan insta popular yang lain.

Ada juga kawannya yang mengalami masalah yang sama.

Sehinggakan sanggup menjual maruah demi wang asalkan dapat tunjuk di socmed yang kehidupan mereka begitu mewah dan bahagia. Dia juga hampir-hampir melakukan perkara yang sama tapi mujur imannya masih ada.

Selepas tekun mendengar segala cerita dia, Hawa sarankan dia jumpa doktor supaya tidak melarat. Hawa hanya mampu mendengar sahaja. Hawa tak boleh buat apa-apa.

Hawa sempat berkata, mungkin kau kurang mensyukuri nikmat Tuhan.

Betapa ramai manusia yang hidupnya susah. Kais pagi, pagi pun tak mampu dapatkan makanan.

Cuma Hawa tidak mahu berlebih-lebih dalam menasihati dia kerana Hawa faham depresi itu tiada wajah. Boleh jadi dia gembira di pagi hari tapi di malam hari dia menangis hingga keesokkan paginya.

Kesimpulannya, kurangkanlah masa dengan socmed. Jadi manusia yang bijak dalam mengatur masa. Hawa hanya buka socmed sekali sehari atau Hawa peruntukkan satu jam sehari tapi boleh buka socmed banyak kali.

Kehidupan sebenar tanpa socmed itu lebih indah.

Tanya pada diri sendiri apa yang kita mahu sampaikan pada socmed masing-masing. Mahu berkongsi kehidupan sendiri atau sebenarnya mahu menunjuk-nunjuk kehidupan sendiri?

Mahu membaca berita, menjadi penyampai berita atau mereka-reka berita?

Mahu bersilaturrahim atau mencipta musuh?

Mahu berkongsi ilmu atau menunjuk ilmu?

Mahu mengejar populariti atau mahu bersederhana?

Mahu menjadi pemarah atau pemurah?

Semuanya berbalik pada diri sendiri. Tidak salah mahu berkongsi.

Tidak salah mahu belajar. Tidak salah mahu mengajar. Tidak salah mahu menyampaikan. Yang salah bila kau menjadi hamba pada socmed hingga kau lupa tanggungjawab kau sebagai manusia.

Mohon maaf, tiada niat untuk

menyinggung sesiapa.

Sekadar berkongsi kisah yang harus kita ambil teladan dan pelajaran darinya.

Sumber; Hawa Wong

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *