Selepas solat Jumaat jangan terus beredar luangkan masa Solat hajat untuk Adib

SEMUA masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat, bagi memohon keamanan negara.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata, ia adalah salah satu usaha untuk mendoakan keamanan dan kesejahteraan negara ini.

Menurutnya, pada masa sama, solat turut mendoakan kesembuhan kepada anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selasa lalu.

Katanya, pihaknya berharap semua jemaah di 84 masjid dan 110 surau Jumaat bersama-sama memohon kesejahteraan kepada negara dan dijauhi daripada sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya mengajak umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk memohon hajat yang baik demi kemakmuran bersama.

“Dengan cara ini, mudah-mudahan keamanan yang sama-sama kita inginkan akan tercapai dan dijauhi dari apa juga sengketa,” katanya.

Katanya, sebelum ini beliau difahamkan ada pihak mengadakan solat hajat berhubung perkara berkenaan dan mengalu-alukan usaha seperti itu.

“Benda baik, Insya-Allah, tak ada masalah. Kita alu-alukan kerana kita perlu memohon kepada Allah SWT,” katanya.