Mat Sabu Terlupa Sesuatu Semasa Kawad Hormat, Dan Dia Mohon Maaf Kepada Semua

MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu memohon maaf kerana tidak berhenti memberi penghormatan kepada Panji-panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja ketika pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata, beliau masih di dalam proses untuk memahami setiap aspek protokol dalam ketenteraan.

Saya ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya kerana tidak berhenti memberikan penghormatan kepada Panji-panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sewaktu pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan pagi tadi.

Saya sedia maklum berkenaan perkara tersebut seperti yang telah ditaklimatkan kepada saya.

“Namun sebagai manusia biasa kita juga tidak lari dari melakukan kesilapan,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Jelas beliau lagi, beliau akan cuba memberikan yang terbaik demi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad yang memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan pada hari ini adalah antara 13 barisan menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara semalam.

MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu mengakui beliau gementar dan masih menyesuaikan diri untuk menguruskan kementerian di bawah kepimpinan kerajaan baharu.

Katanya, beliau sudah biasa hidup bersama rakyat, namun kini terdapat protokol dan peraturan yang perlu dipatuhi demi menjaga kepentingan semua pihak.

Tak ada perubahan besar, cuma sekarang bila nak bercakap faktanya perlu dijaga dan mengambil kira perasaan negara-negara jiran kerana saya bukan saja Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) saja, tetapi Menteri Pertahanan.

Saya perlu cermat kerana sebarang percakapan akan dilihat dan dikaji pihak kawan dan juga lawan dalam politik merangkumi dalam serta luar negara.

Memang kena sesuaikan diri dengan kehidupan baharu tetapi saya tak akan ubah ‘style’ saya,” katanya.

Terdahulu, Mohamad tiba di Wisma Pertahanan pada 9.30 pagi bagi memulakan hari pertama selaku Menteri Pertahanan.

Beliau mengambil tabik hormat dan menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Juniusabdiah Shah Putra Janny.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta Panglima Perkhidmatan dan Pegawai Kanan Tentera dan awam Kementerian Pertahanan.

Mengulas lanjut, beliau akan mendengar taklimat dan penerangan merangkumi seluruh cabang pentadbiran dan ketenteraan dalam tempoh minggu pertama.

“Kita akan guna ilmu yang akan digabungkan dengan ketenteraan untuk menangani sebarang konfrontasi khususnya isu memerangi keganasan.

Berhubung isu-isu lain seperti skandal kapal dan penjualan tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kita akan kaji menerusi siasatan dalaman dan luaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

Saya tidak mahu ambil tindakan berdasarkan khabar angin kerana itu boleh merosakkan imej individu dan jabatan,” katanya.

Mohamad, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dilahirkan pada 14 Oktober 1954 di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Beliau pernah menjadi ahli parlimen Kubang Kerian pada 1995 hingga 1999 dan Kuala Kedah pada 1999 hingga 2004.

Beliau adalah lulusan Teknologi Makanan dan Sains Gunaan dari Institut Teknologi Mara.

sumber harian metro

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *