Kecewa Isteri Tidak Kirim Wang, Lelaki Ini Bagi Anaknya Minum Racun Tikus Sehingga Maut.

BERANG dan kecewa isteri yang bekerja di Batam enggan mengirim wang, seorang lelaki tergamak memberi racun tikus kepada anaknya yang berusia 14 bulan sebelum dia juga minum racun itu di Cirebon, Jawa Barat.

Akibatnya, bayi lelaki tidak berdosa itu maut selepas doktor gagal menyelamatkannya manakala bapanya, dikenali sebagai Taufik, masih dirawat di Rumah Sakit Waled, Cirebon.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Taufik, 27, mencampurkan racun tikus dalam susu anaknya, Kaisar Alfikal, di rumah ibu bapanya sebelum dia sendiri minum racun berkenaan.

Kedua-dua mereka ditemui dengan mulut

berbuih dan segera dikejarkan ke hospital, namun Kaisar gagal diselamatkan.

Menurut laporan liputan6, keadaan Taufik yang ditahan polis di hospital, kini semakin pulih.

Dalam temu ramah dengan portal berita itu, Taufik yang tiada pekerjaan tetap, menyatakan kesal dengan tindakannya menyebabkan anaknya mati, mendakwa kecewa isterinya enggan pulang tinggal bersamanya.

Namun, menurut portal Radar Cirebon, sebelum kejadian, ketika menelefon isterinya, Taufik bergaduh dengan wanita itu kerana isterinya enggan mengirimkan wang yang dimintanya.

Isterinya baru beberapa bulan bekerja di Batam dan menjadi penyumbang utama ekonomi mereka sekeluarga kerana Taufik tiada pekerjaan manakala anak mereka dijaga ibu bapa Taufik.

Taufik yang marah, mengancam memberi racun kepada anak mereka dan dirinya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *