Kasih Sayang Abang dermakan Buah Pinggang Kepada Adik- Sungguh Pilu

Na, jagalah diri. Nuar halalkan buah pinggang. Itu saja yang Nuar boleh tolong. Jagalah sebaik mungkin. Lepas ni makan ubat dengan betul, jaga pemakanan. Jagalah dengan elok sampai bila-bila,” kata guru, Anuar Mohamed.

Lelaki berusia 37 tahun itu disifatkan penyelamat nyawa adiknya, apabila sanggup mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada Norazlina Mohamed, 34, menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 6 Februari lalu.

Dia yang tidak sanggup melihat penderitaan adiknya yang disahkan menghidap kegagalan buah pinggang sejak tiga tahun lalu mengambil keputusan mendermakan organ miliknya itu kerana kasih sayang seorang abang.

Katanya, sebagai anak lelaki tunggal daripada enam beradik, dia sanggup berkorban, mengambil segala risiko untuk memastikan adiknya tidak lagi meraung kesakitan serta berulang alik ke hospital untuk rawatan biarpun dirinya kehilangan sebelah buah pinggang.

Sudah lebih setahun kami menjalani pemeriksaan dan berunding dengan pakar di HKL dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk melihat sama ada saya boleh menjadi penderma atau pun tidak.

Selama tempoh itu, saya beri semangat kepada adik supaya dia tabah melaluinya dan saya sentiasa ada bersama-sama.

Dia memang seorang yang kuat, semoga dia akan segera sembuh dan dapat memulakan hidup baru, dengan buah pinggang saya itu,” katanya yang menjadi tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 2, Petaling Jaya sejak lapan tahun lalu.

Anuar berkata, adiknya itu sebelum ini cuba bertahan dengan kesakitan dialami dan tidak mahu memberitahu kepada ahli keluarga sehingga sampai satu tahap, dia perlu menjalani pemindahan untuk mendapatkan buah pinggang baru.

Katanya, buah pinggang adiknya itu juga sudah lapan kali dijangkiti kuman menyebabkan keadaannya bertambah teruk dan memerlukan pembedahan segera sebagai jalan terakhir.

Saya tidak pernah langsung terlintas untuk berpatah balik, takut atau sebagainya. Walaupun saya tahu ada risiko tetapi nyawa adik saya lebih penting.

Keluarga juga memberi sokongan dan tidak membantah hasrat saya untuk bantu Ina (Norazlina) dengan memberi buah pinggang saya kepadanya.

Sekarang tidak ada apa lagi, cuma perlu teruskan hidup. Saya harap Ina juga begitu. Saya juga berdoa supaya tidak ada masalah pada buah pinggang saya, yang kini berada dalam tubuh dia. Semoga kami akan terus sihat sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, Norazlina berkata, sebagai adik, dia begitu terharu dengan pengorbanan abangnya untuk memastikan dia sihat semula.

Saya rasa terharu, gembira dan berterima kasih kepada abang sebab sudi menderma buah pinggang dia kepada saya.

Susah nak cari abang yang boleh buat pengorbanan sebesar ini. Dia tak sanggup tengok saya dalam kesakitan menggunakan mesin hemodialisis tiga kali seminggu.

Saya tekad untuk jaga diri sebab saya tahu, kalau saya tak jaga baik amanah ini, dia dah buat pengorbanan yang besar. Walaupun dia tahu risiko sebelum buat pemindahan, dia nekad dan saya pun positif,” katanya.

Sementara itu, bapa mereka, Mohamed Abd Rahman, 70, berkata, dia begitu terharu dengan dua anaknya yang sanggup menderma dan menerima buah pinggang untuk kebaikan bersama.

Katanya, perasaan bercampur baur itu dirasakan sejak awal Anuar menyatakan hasrat untuk menderma apatah lagi dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan bekerjaya berbanding saudaranya yang lain.

Semoga mereka berdua sihat. Mereka berdua anak yang baik dan saya tak sangka mereka akan melalui saat ini,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *