Inalillah-Ustaz Murtadza sudah tiada- Al- Fatihah

SELEPAS 10 hari bertarung nyawa, pendakwah bebas, Mohd Murtadza Mohd Yussof, 30, disahkan meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru di Hospital Taiping, 12.30 tengah hari ini.

Mohd Murtadza atau dikenali Ustaz Murtadza meninggal dunia di sisi keluarga terdekatnya selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Bagan Serai, 3 Januari lalu.

Adik kepada Ustaz Murtadza, Mohamad Yaakub Yusra, 27, berkata, abangnya berada dalam keadaan koma selepas kemalangan itu.

Katanya, pihak doktor memaklumkan Ustaz Murtadza yang parah berdepan jangkitan kuman sehingga mengakibatkan komplikasi pada paru-paru.

Saya mohon kepada semua supaya dipermudahkan urusan dan semoga berdoa beliau ditempatkan bersama-sama orang-orang soleh,” katanya ketika dihubungi di Taiping, hari ini.

Menurutnya, jenazah akan di bawa balik ke Kampung Bakar Kapur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Penghulu Him, Sungai Petani, Kedah petang ini.

Allahyarham Mohd Murtadza meninggalkan seorang balu Nurulana Shafie dan dua anak lelaki iaitu Abdul Rahmat, 4, serta Abdullah Faqih, 2.

Dalam kemalangan itu, Mohd Murtadza yang memandu kenderaan dan penumpang depan, Mohamad Wadi Annuar Ayub parah di beberapa anggota badan manakala rakannya, Muhd Hambali Zulkifli, 28, serta bapa kepada Mohd Murtadza iaitu Mohd Yussof Ahmad, 62, kedua-duanya penumpang belakang turut cedera.

Difahamkan keadaan Ustaz Wadi dilaporkan bertambah baik dan menjalani rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua penumpang hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di hospital.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *