Bapa Menderita Kanser Hati Meninggal Dunia, Semoga rohnya dicucuri rahmat…

BAPA kepada tiga anak yang menderita akibat kanser hati tahap empat sejak lebih setahun lalu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 2 pagi tadi di sisi ahli keluarga terdekat di rumahnya di Projek Perumah Rakyat (PPR) Krubong, Melaka Tengah, Melaka.

Kamarudin Ramli, 37, disahkan menghidap kanser hati pada 2016 sebelum hati sebelah kanannya terpaksa dibuang pada Jun tahun sama.

Isterinya, Norsuraya Khalil, 32, berkata, pada Rabu suaminya tiba-tiba mengalami sesak nafas dan sukar bernafas menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum ditahan selama dua hari untuk rawatan lanjut.

“Ketika ditahan di hospital, doktor mengambil keputusan untuk menebuk bahagian perutnya untuk mengeluarkan air bisa kerana keadaan perutnya yang sudah kembung dan keras.

Bagaimanapun selepas kali kedua perutnya ditebuk keadaannya mula lemah menyebabkan kami ahli keluarga membuat keputusan untuk membawanya balik ke rumah malam kelmarin serta mengadakan bacaan Yasin,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tampoi, di Melaka, hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, arwah

suaminya ada meluahkan rasa hiba dan sedih apabila ramai pihak dan individu tidak dikenali tampil membantu mereka selepas kisah keluarganya keluar di media.

Katanya, walaupun masih terkejut dengan pemergian suaminya namun dia redha selain bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan bantuan dalam mempersiapkan persiapan persekolah anaknya masing-masing berusia 13, 12 dan tujuh tahun.

 

Artikel berkaitan

 

Sayu tak dapat bantu isteri [METROTV]

Walaupun perasaan ini meronta ingin membantu meringankan beban isteri selain menyediakan keperluan sekolah anak-anak tetapi saya tiada daya untuk lakukan semua itu,” luah pesakit kanser hati tahap empat Kamarudin Ramli, 36.

Akibat kanser yang dialaminya, Kamarudin kini bergantung hidup dengan isterinya Norsuraya Khalil, 32, untuk menguruskan dirinya serta tiga anak mereka berusia enam hingga 12 tahun.

Menurut Kamarudin, akibat kanser yang dihidapinya itu, hati sebelah kanannya terpaksa dibuang pada June tahun lalu bagaimanapun dia sekali lagi menerima khabar duka apabila sebelah lagi hatinya turut diserang kanser.

Katanya, kerana keadaan diri yang tidak dapat bekerja dia bergantung kepada duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Perkeso untuk membantu meringankan tanggungan isterinya dalam mengurus keluarga.

Jika sebelum ini segala persiapan sekolah anak saya uruskan tetapi kini semua dilakukan isteri. Apabila mengenangkan sayu rasanya kerana saya tidak dapat membantu.

Malah banyak lagi keperluan tidak dapat disediakan walaupun hanya tinggal beberapa hari lagi persekolahan akan dibuka,” katanya.

Isterinya, Norsuraya berkata, kerana tidak mahu mengecewakan anak-anak terutama anak lelaki bongsunya yang akan memasuki darjah satu, dia menyediakan sepasang seragam baharu buat ketiga-tiga anaknya.

Katanya, bagaimanapun dia bernasib baik kerana anak bongsunya itu turut menerima sumbangan beg sekolah dan peralatan menulis semalam.

Saya kini buntu kerana perlu membeli buku tulis dan membayar yuran anak-anak sedangkan sekolah akan dibuka tidak lama lagi.

Untuk yuran sahaja saya kira keseluruhan berjumlah kira-kira RM350 tidak termasuk peralatan kasut dan pakaian,” katanya.

Katanya, dengan berpendapatan kira-kira RM1, 000 sebulan sebagai operator kilang, ia masih tidak mencukupi kerana perlu menjelaskan bil serta sewa rumah.

Sejak suami sakit pendapatan saya tidak tetap kerana ada masa perlu mengambil cuti tanpa gaji malah pernah hanya menerima gaji sebanyak RM500,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Melaka, hari ini.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *