Alami Jantung Bengkak, Ramai Bantu Bob Lokman. Inilah Status Kesihatan Bob Lokman Sekarang

PELAKON dan penulis lirik, Bob Lokman berkata dia ada menerima sumbangan daripada orang awam semenjak status bantuan yang dimuat naik oleh sahabatnya tular di laman Facebook.

Bob atau Mohd Hakim Lokman, 54, ketika dihubungi mStar Online memberitahu dia terkejut apabila mengetahui posting tersebut tersebar di laman sosial.

Mulanya, kawan saya muat naik status itu di dalam grup kami sahaja, tak sangka pula ada yang kongsikan semula di beberapa page Facebook.

“Apabila status itu viral, ada yang bertanya dan bermurah hati nak membantu. Alhamdulillah, ada la sedikit bantuan yang saya terima,” ceritanya.

Bob dimasukkan ke UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh, Selangor akibat masalah jantung bengkak dan paru-paru berair pada Rabu

Penulis lirik lagu Isabella nyanyian Amy (Search) ini turut memaklumkan kesihatannya semakin pulih dan akan dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat.

Kesihatan semakin baik, tidak seteruk ketika ditahan di wad tempoh hari. Insya-Allah, saya akan dibenarkan pulang Isnin ini.

“Nak berjalan sangat pun dah tak boleh, cepat letih tapi saya ni jenis tak boleh nak duduk-duduk diam saja.

Selain mengambil ubat hospital, doktor minta saya mengawal pemakanan dan perlu berdiet. Lepas ini saya kena berehat dahulu,” katanya.

Sementara itu, Bob memaklumkan dia ada menerima bantuan kewangan daripada saudara mara dan teman-teman rapat.

Malah, pendapatannya sebagai penceramah program motivasi yang diterima turut digunakan untuk menyara keluarga.

Alhamdulillah, ramai sahabat datang menghulurkan bantuan sekadar termampu dan sedikit sebanyak mengurangkan beban tanggungan kesihatan saya.

“Cumanya sekarang kos bertambah kerana perlu beli ubat dan rawatan daripada pakar,” katanya yang aktif dengan kerja bantuan kemasyarakatan bersama Muslim Care.

Dalam pada itu, Bob berterima kasih kepada individu yang bermurah hati menghulurkan bantuan setelah kisahnya tular di laman sosial.

“Terima kasih kepada mereka yang membantu dan semoga kalian dilimpahi rezeki yang lebih luas.

Insya-Allah, jika ada baki daripada sumbangan yang dihulur ini nanti saya akan bantu orang lain yang memerlukan juga,” katanya.

Bob dan isteri, Relawati Daud, 40, dikurniakan lapan anak iaitu

Mohamad Adam, 25, Omar Hakim, 24, Ahmad Sufian, 23, Ahmad Rayyan, 12, Nur Amanee, 10, Luqmanulhakim, 9, Muhammad Danial, 6 dan Nur Amalin, 4.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2018/01/05/bob-lokman-bantuan/#1bFCDQCDzqbJdklX.99

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *