Adik Ariff Sudah Pergi Selamanya Al- Fatihah

MOHAMMAD Ariffuddin Mohd Nor Hafis, 9, yang menghidap barah tisu meninggal dunia di rumah datuknya di Jalan Seri Kenangan, Meru, Klang, malam tadi.

Bapanya, Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, berkata anak sulungnya itu kembali ke rahmatullah pada 11.40 malam tadi.

Selepas Maghrib, Arif (Mohammad Ariffuddin) menunjukkan perubahan.

“Saya memanggil ahli keluarga lain untuk berkumpul dan membaca surah Yasin.

Menurutnya, selepas itu keadaannya semakin teruk dan sudah tidak mampu untuk bercakap.

“Saya minta Arif berehat memandangkan keadaannya yang sangat lemah.

“Namun ketika bapa saya cuba mengejut Arif dari tidur dia tidak memberi sebarang reaksi. Kami tahu, Arif sudah pergi dan saya reda,” katanya sebak.

Menurutnya, anaknya itu akan dimandi dan disolatkan di rumah bapanya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Cempaka Meru pada kira-kira 10 pagi ini.

Dalam masa sama, dia turut menghargai sokongan serta doa orang ramai termasuk penderma yang banyak membantu anaknya itu.

Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin menghulurkan sumbangan. Hanya Allah SWT saja dapat membalas jasa semua,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan Mohammad Ariffuddin berharap kembali sihat seterusnya dapat kembali ke sekolah untuk berjumpa rakan serta gurunya.

Kisahnya mendapat perhatian ramai selepas laporan muka depan akhbar ini pada 12 Julai lalu memaparkan penderitaan kanak-kanak ceria itu yang berisiko buta seumur hidup berikutan sel barah merebak dengan cepat sehingga ke otak dan menjejaskan organ dalaman lain.

Penyakit yang dihidapi sejak Januari lalu itu menyebabkan mata kirinya terjojol keluar manakala mata kanan hampir buta.

ARTIKEL BERKAITAN

Klang: “Saya harap boleh kembali sihat seperti sebelum ini, sudah lama saya tak pergi sekolah dan berjumpa guru serta rakan,” kata Mohamad Arifuddin Mohd Nor Hafis, 9, dengan nada lemah.

Mohamad Arifuddin yang menghidap barah tisu sejak Januari lalu hanya terbaring.

Menurutnya, walaupun semakin lemah namun dia sedaya upaya menguatkan diri untuk kembali sihat seperti sedia kala.

“Saya nak sihat dan mahu menjadi pemain bola. Sebelum ini saya berjumpa Mohd Hafiz Kamal (pemain bola sepak pasukan Perak) dan saya sangat teruja,” katanya.

Harian Metro pada laporan muka depan 12 Julai lalu memaparkan penderitaan kanak-kanak ceria itu yang berisiko buta seumur hidup berikutan sel barah merebak dengan cepat sehingga ke otak dan menjejaskan organ dalaman.

Penyakit dihidapi menyebabkan mata kirinya terkeluar manakala mata kanan pula hampir buta.

Hasrat kanak-kanak itu menemui Mohd Hafiz juga direalisasikan pada 16 Julai lalu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Sementara itu, bapanya, Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, berkata, keadaan anaknya semakin lemah walaupun sudah lengkap rawatan di hospital.

“Saya mencuba rawatan tradisional untuk anak selain rawatan Islam sebagai ikhtiar selepas menjalani rawatan moden.

Walaupun keadaannya semakin lemah namun saya tidak akan berputus asa. Sejauh mana pun saya akan pergi bagi merawat penyakit anak,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Nor, keadaan Mohamad Arifuddin menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori berikutan anaknya memerlukan pengawasan 24 jam.

“Biarlah saya berhenti kerja dulu. Saya nak habiskan waktu dengan dia dan menjaganya dulu.

Memang saya reda dengan penyakitnya namun itu tidak semestinya saya perlu berputus asa walaupun doktor sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Mohd Nor, dia mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk bayaran rumah sewa serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan RM250 sebulan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *