2 Suspek Ru Suhan Akhirnya Serah Diri

SEORANG mekanik yang terbabit dalam rusuhn di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu, dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi arahan pihak polis untuk bersurai dalam kejadian itu.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shamis Samsuri, 29, mekanik selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu berada di dalam satu perhimpunan yang menyebabkan suatu gangguan kepada ketenteraman awam dan gagal mematuhi arahan bersurai yang diberikan oleh 

polis.

Kejadian itu didakwa dilakukan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Usaha, USJ 16, Subang Jaya pada jam 1.15 pagi, 28 November lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 151 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi tertuduh, R M Pavethren, 19, juruteknik turut dihukum denda RM4,800 atas dua pertuduhan mengabaikan perintah polis yang bertugas mengawal lalu lintas serta gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan semasa pemeriksaan dijalankan dan mengabaikan perintah anggota polis, Koperal Riza Ahmad Abdul Khalid yang bertugas mengawal dan menyelia lalu lintas dilakukan di Jalan Harmoni, Putra Heights, dekat Petaling Jaya, pada 1.15 pagi, 28 November lalu.

Bagi pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan, dia didakwa mengikut Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Bagi kesalahan mengabaikan perintah polis, dia didakwa mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000.

Bagi kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan, dia didenda RM3,500 atau empat bulan penjara manakala bagi kesalahan mengabaikan perintah polis, remaja itu dikenakan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara, sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Datuk Salim Soib @ Hamid, Shafiq Hasim, Amir Nasruddin dan Fairuz Johari, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-duanya adalah antara tujuh individu yang dihadapkan di mahkamah, hari ini. Bagaimanapun, lima lagi tidak mengaku bersalah atas pertuduhan merush dengan menggunakan senjata berbahaya.